Editor choice

Apa Itu Sijil Berhenti Sekolah?

Sijil Berhenti Sekolah merupakan sebuah sijil atau dokumen yang menyatakan bahawa anda telah berjaya menamatkan pengajian Tingkatan 5 di sesebuah sekolah. Sijil ini juga mungkin dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Surat Berhenti Sekolah dan Surat Akuan Sekolah, namun mengandungi maklumat yang sama mengenai seseorang bekas pelajar.

Isi Kandungan Sijil Berhenti Sekolah

Sijil ini mengandungi maklumat peribadi murid seperti:

  • Nama
  • Nombor pengenalan
  • Nama ibu bapa atau penjaga
  • Nombor sijil kelahiran
  • Nama sekolah

Selain itu, sijil ini juga memuatkan rumusan tentang penglibatan seseorang murid di sekolah seperti:

  • Nama kelab/persatuan
  • Badan beruniform
  • Sukan yang disertai
  • Pencapaian dan jawatan yang disandang

Sijil ini biasanya akan dikeluarkan sebaik sahaja murid tersebut menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ditandatangani oleh Pengetua atau Guru Besar yang bertugas ketika itu. Walau bagaimanapun, ada juga segelintir murid yang terlupa untuk mengambil sijil ini di pejabat pentadbiran sekolah mereka sehingga bertahun-tahun lamanya.

Kepentingan Sijil Berhenti Sekolah

Sijil Berhenti Sekolah mempunyai beberapa kepentingan yang penting bagi bekas pelajar, antaranya:

  • Penarafan pihak sekolah
  • Kebolehpercayaan murid
  • Bukti penglibatan murid
  • Untuk memohon kerja
  • Untuk memohon sambung belajar, terutamanya selepas SPM

Sekiranya anda bercita-cita untuk mendapatkan kerja sebagai pegawai kerajaan, sijil ini antara dokumen yang perlu dikemukakan bersama apabila menghantar permohonan kerja dan menghadiri temuduga. Bagi pekerjaan di sektor swasta, pihak syarikat biasanya hanya meminta sijil pengajian akademik peringkat tertinggi dan lain-lain sijil berkaitan kerja yang dipohon sebagai dokumen sokongan.

Cara Memohon Sijil Berhenti Sekolah

Anda tidak perlu memohon untuk mendapatkan Sijil Berhenti Sekolah ini. Hadirkan diri ke pejabat pentadbiran sekolah anda dan minta sahaja daripada pegawai yang bertugas untuk mendapatkan dokumen penting ini.

Sijil Hilang, Apa Yang Perlu Dilakukan?

Sekiranya anda kehilangan sijil ini, anda boleh mendapatkan salinan Sijil Berhenti Sekolah dengan menghadirkan diri ke pejabat pentadbiran sekolah anda. Namun, jika anda sudah menamatkan pengajian dalam tempoh yang terlalu lama, misalnya 10 tahun, besar kemungkinan maklumat peribadi anda telah dilupuskan oleh pihak sekolah.

Dalam hal ini, anda masih boleh mendapatkan sijil anda dengan bantuan daripada Pengetua atau Guru Besar terkini yang sedang berkhidmat di sekolah tersebut. Pihak kerani mungkin akan meminta beberapa maklumat daripada anda memandangkan mereka tidak lagi menyimpan maklumat peribadi anda yang sudah terlalu lama dan mungkin telah dilupuskan.

Kebiasaannya pihak sekolah tidak akan mengenakan apa-apa bayaran untuk salinan sijil ini, namun ada juga segelintir pihak sekolah yang mengenakan sedikit bayaran untuk perkhidmatan sebegini. Walau bagaimanapun, jumlah bayarannya tidaklah terlalu mahal.


Semoga maklumat ini dapat membantu anda memahami lebih lanjut mengenai Sijil Berhenti Sekolah dan kepentingannya. Pastikan anda mendapatkan sijil ini sebaik sahaja tamat pengajian untuk kegunaan masa depan anda.

Tags:

We will be happy to hear your thoughts

Leave a reply

Education
Logo
Register New Account