Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini giat berusaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035, satu pelan tindakan strategik yang bertujuan mencapai aspirasi nasional dalam pendidikan tinggi. Melalui siri mesyuarat Jawatankuasa Penasihat PPPTM yang kedua pada tahun ini, KPT terus komited memastikan pembangunan blueprint baharu yang bakal mengambil alih rancangan semasa pada tahun hadapan. Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi membentangkan Laporan Interim PPPTM 2026-2035, sekaligus memperincikan perkembangan terkini dalam usaha pembangunan blueprint ini.

Mesyuarat yang berlangsung di ibu negara telah dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dengan kehadiran Timbalan Menteri, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, serta Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. Turut hadir adalah 120 ahli mesyuarat yang terdiri daripada pengurusan tertinggi KPT dan institusi pengajian tinggi (IPT), tokoh korporat, pemain industri, serta pakar rujuk terkemuka negara.

Di antara tokoh yang terlibat dalam Jawatankuasa Penasihat adalah Mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Sri Mustapha Mohamed dan Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh; Presiden dan Pengerusi PEMANDU Associates, Dato’ Sri Idris Jala; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Tony Fernandes; dan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar.

Dalam mesyuarat tersebut, ketua-ketua lonjakan blueprint ini telah membentangkan isu, cabaran, dan strategi yang dirancang dalam 10 Lonjakan PPPTM 2026-2035. Pembentangan ini dipimpin oleh Pengerusi Kumpulan Pakar, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, yang menerangkan secara mendalam setiap lonjakan untuk memastikan keselarasan matlamat dalam mencapai aspirasi pendidikan tinggi negara.

Sehingga kini, Kumpulan Pakar telah menjalankan 31 sesi libat urus melibatkan lebih 5,000 pemegang taruh dengan sokongan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Bahagian Dasar & Penyelidikan KPT. Tambahan pula, sebanyak 1,816 maklum balas tinjauan nasional daripada pelbagai pihak dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi telah dikumpulkan untuk mengenal pasti isu dan cabaran utama dari pelbagai sudut pandangan.

Secara keseluruhan, 10 lonjakan yang dibentangkan meliputi seluruh aspek ekosistem pendidikan tinggi dengan mengambil kira faktor ekonomi masa hadapan, permintaan pasaran, dan keberhasilan penyelidikan. Jawatankuasa Penasihat mencadangkan supaya blueprint ini diiringi oleh pelan tindakan yang teliti untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

KPT berharap agar gabungan kepakaran dan maklum balas yang dikumpul daripada pelbagai pihak akan membuahkan hasil dalam bentuk blueprint yang berdaya laksana, memberi impak strategik kepada pembangunan bakat, dan menyokong agenda pertumbuhan ekonomi negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi
8 November 2024

Tags:

We will be happy to hear your thoughts

Leave a reply

Education
Logo
Register New Account