Editor choice

20 Pelajar B40 UNITAR Terima Biasiswa RM1 Juta

GEORGE TOWN – Sebanyak 20 pelajar dari golongan B40 Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) menerima biasiswa bernilai RM1 juta daripada Kumpulan Pendidikan UNITAR, yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. Majlis penganugerahan biasiswa ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkasakan pendidikan dalam kalangan pelajar yang memerlukan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, menegaskan bahawa pendidikan adalah keutamaan dalam usaha melahirkan masyarakat berilmu, selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan. Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan dalam menyediakan peruntukan kewangan bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ingatlah, pendidikan adalah kunci untuk membuka potensi sepenuhnya. Saya mohon kepada anak-anak sekalian supaya memanfaatkan peluang ini dan terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam segala yang anda lakukan,” ujar Kon Yeow semasa majlis penganugerahan tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Seri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan UNITAR, B. Puvan.

Kon Yeow mengucapkan terima kasih kepada UNITAR kerana menyediakan biasiswa penuh kepada pelajar-pelajar dari Pulau Pinang, termasuk mereka yang baru sahaja mendaftar pada Mei lalu dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan memulakan pengajian pada September ini. Beliau turut memuji usaha UNITAR sebagai sebuah institusi yang menyahut cabaran kerajaan untuk membentuk generasi pemimpin berilmu dan berkualiti.

“Saya yakin bahawa biasiswa ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada kejayaan akademik dan platform untuk merealisasikan impian pelajar,” tambahnya.

Dalam ucapannya, Kon Yeow turut menekankan kepentingan menguasai teknologi digital bagi para pelajar, selaras dengan Visi Penang 2030 untuk melahirkan negeri Pintar dan Hijau. Beliau menegaskan bahawa kefasihan digital adalah penting untuk mempersiapkan pemimpin masa depan dalam menghadapi cabaran pendigitalan.

Sementara itu, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Seri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berharap biasiswa ini akan menjadi pemangkin bagi pelajar mengubah nasib diri dan keluarga mereka ke arah yang lebih baik. “Ini adalah kali kedua pemberian seumpama ini, dan kami di UNITAR nekad untuk menjadi universiti swasta tersohor dalam industri pendidikan, serta melahirkan generasi berilmu dan cemerlang,” ujarnya.

Dengan adanya bantuan seperti ini, diharapkan lebih ramai pelajar B40 dapat meneruskan impian mereka dalam pendidikan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

sumber : https://www.buletinmutiara.com/20-pelajar-b40-terima-biasiswa-unitar/

Tags:

We will be happy to hear your thoughts

Leave a reply

Education
Logo
Register New Account