Hospital UMS Bakal Tingkat Mutu Pendidikan, Latihan Serta Tawar Perkhidmatan Perubatan Terbaik

Hospital UMS Bakal Tingkat Mutu Pendidikan, Latihan Serta Tawar Perkhidmatan Perubatan Terbaik – Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) sedang giat dibangunkan dan dijangka akan menjadi pusat rujukan utama dalam pendidikan, latihan, dan perkhidmatan perubatan di Sabah.

Projek pembinaan HUMS ini dijangka siap pada Disember 2025 dan bakal beroperasi sepenuhnya pada Januari 2026. Hospital ini akan menawarkan pelbagai kemudahan canggih, termasuk kapasiti 400 katil, 25 bilik pembedahan, 40 katil rawatan intensif, dan 145 klinik pakar, menjadikannya antara hospital terkemuka di Malaysia.

Kemajuan Pembinaan dan Kemudahan Canggih

Semasa lawatan kerja ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya telah diberi taklimat terkini oleh Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh, bersama wakil syarikat konsesi yang dilantik. HUMS berkonsepkan hospital pintar, di mana keseluruhan operasi hospital ini akan menggunakan sistem digital maklumat hospital lengkap, memberikan pengalaman rawatan yang lebih baik dan efisien kepada pesakit.

Pusat Pengajaran, Penyelidikan dan Perkhidmatan Kesihatan

HUMS akan berfungsi sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar perubatan dan kejururawatan, selain menjadi pusat penyelidikan perubatan dan sains kesihatan. Lebih daripada sekadar sebuah hospital, HUMS juga akan menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada masyarakat. Antara perkhidmatan yang bakal ditawarkan termasuklah:

  • Khidmat rundingan dan rawatan doktor pakar
  • Perkhidmatan kecemasan dan trauma 24 jam
  • 2 Angiogram Suite, MRI, CT-scan
  • Wad Isolasi Komprehensif dengan 10 katil
  • Rawatan pesakit harian dengan 58 katil
  • Hemodialisis dengan 40 kerusi rawatan

Manfaat Kepada Pendidikan, Kesihatan dan Ekonomi Rakyat

Dengan pembukaan HUMS, mutu pendidikan dan latihan perubatan dijangka akan meningkat, khususnya untuk pelajar perubatan dan kejururawatan. HUMS akan memberikan peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan klinikal dalam suasana perubatan sebenar, sekaligus meningkatkan kualiti graduan yang dihasilkan oleh UMS. Di samping itu, hospital ini juga akan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi bagi masyarakat setempat.

Pembukaan HUMS turut dijangka memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan fiskal, serta merangsang ekonomi setempat khususnya dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan.

Pembinaan HUMS adalah bukti komitmen UMS dan kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan di Sabah dan seterusnya memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan dan seluruh negara.

Dr. Zambry Abd Kadir
17 September 2024

Tags:

We will be happy to hear your thoughts

Leave a reply

Education
Logo
Register New Account